mutakhir

PGSM syor wajibkan sesi kaunseling

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengesyorkan kepada kerajaan supaya mewajibkan sesi kaunseling kepada setiap pasangan yang mahu memfailkan permohonan perceraian di mahkamah syariah.

Presidennya, Musa Awang berkata, pada masa ini kaunseling bagi pasangan yang hendak bercerai bukan satu kewajipan atau kemestian, sebaliknya pilihan semata-mata.

Beliau berkata, sesi kaunseling tidak perlu dihadkan di Jabatan Agama Islam Negeri sahaja, tetapi terbuka juga kepada kaunselor bertauliah yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) atau peguam syarie yang memiliki sijil mediasi bertauliah.

"Jabatan Agama Islam Negeri juga perlulah mengambil usaha mempertingkatkan tahap akademik, kualiti dan kepakaran pegawai kaunseling dari semasa ke semasa.

"Perceraian boleh dikawal atau dikurangkan dengan mewajibkan sesi kaunseling kepada setiap pasangan yang hendak memfailkan permohonan perceraian.

"Pasangan terbabit hendaklah melampirkan laporan kaunseling atau surat pengesahan bahawa mereka telah melalui proses kaunseling sebelum dibenarkan memfailkan tuntutan perceraian di mahkamah syariah," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin semalam bahawa kira-kira lima permohonan perceraian membabitkan pasangan Islam diterima mahkamah syariah seluruh negara dalam tempoh sejam.

Mas Ermieyati dipetik sebagai berkata, ia menjadikan purata 121 permohonan difailkan dalam tempoh sehari, manakala bagi permohonan perceraian membabitkan pasangan bukan Islam pula, purata 18 kes direkodkan di seluruh negara dalam tempoh sehari.

"Sedang kita bercakap dalam dewan ini, ada orang yang memohon cerai, maksudnya begitulah dia punya konteks dan suasana. Kita pun risau, jadi sebab itulah saya percaya walaupun bukan dalam bidang kuasa atau konteks Parlimen dan Undang-Undang, banyak sistem sokongan (diberikan) yang bukan sahaja berada di bawah kementerian ini," katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut, Musa berkata pihak PGSM mencadangkan jika semasa dalam prosiding perceraian tiada bukti ditunjukkan bahawa pasangan berkenaan sudah menghadiri sesi kaunseling, maka hakim hendaklah mengarahkan mereka menghadiri sesi kaunseling terlebih dahulu sebelum kes mereka didengar semula.

#kw cerai, kaunseling, mahkamah syariah, peguam syarie, PGSM, Kuala Lumpur

Disiarkan pada: October 13, 2021 @ 1:43pm
d