mutakhir

Detik hitam dirogol, disamun ketika tidur

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Seorang pekerja wanita warga asing menempuh detik hitam apabila dirogol lelaki tidak dikenali yang menceroboh masuk ke dalam bilik asramanya dalam kejadian di sebuah rumah teres di Perai, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian pada 4 pagi itu, suspek dikatakan turut melarikan wang tunai berjumlah RM200 milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa membuat laporan polis selpas kejadian dan memaklumkan ketika sedang tidur di bilik asramanya, dia dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki tidak dikenali yang meletakkan satu objek tajam di lehernya.

"Lelaki itu seterusnya merogol mangsa dan mengambil wang milik mangsa berjumlah RM200.

"Mangsa tidur di bilik tingkat atas dalam keadaan pintu berkunci, tetapi suspek dipercayai masuk ke dalam rumah dengan mengumpil pintu hadapan bilik mangsa.

"Mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan lanjut selepas dia membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Shafee berkata, susulan laporan itu, polis menahan dua lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Beliau berkata, semakan ke atas dua suspek mendapati mereka mempunyai rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Kedua-dua suspek ada pekerja kontrak pembersihan dan ditahan pada 7 malam hari kejadian.

"Mereka kini direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2021 @ 5:47pm
d