mutakhir

Tidak tahan panas, lelaki batal niat bunuh diri

Oleh Izad Thaqif Hassan

Kulim: Berang dengan tindakan rakan sekerja menuduhnya mengambil wang sumbangan untuk membeli dadah, seorang lelaki membakar lori dan pondok kediaman pekerja ladang lembu di Junjong, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, lelaki berusia 30-an mendakwa dirinya tertekan dengan tuduhan berkenaan menyebabkannya bertindak sedemikian selain mahu membunuh diri.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Sazali Adam berkata, suspek bagaimanapun membatalkan niat membunuh diri dengan keluar daripada pondok itu kerana tidak tahan panas.

Menurutnya, kejadian disedari pengurus ladang yang tiba di lokasi dan terkejut apabila melihat lori dan pondok yang menempatkan tiga pekerja terbakar.

"Pengurus ladang berkenaan kemudian menyoal pekerjanya dan suspek mengaku melakukan perbuatan itu.

"Mendengarkan jawapan itu, pengurus terbabit terus membawa suspek ke Balai Polis Junjong," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sazalee berkata, hasil siasatan lanjut suspek memberitahu dia membakar lori dan pondok kediaman pekerja itu menggunakan selimut.

"Suspek mendakwa dia tertekan dengan kata-kata buruk rakan sekerja yang menuduhnya mengambil wang sumbangan untuk membeli dadah.

"Siasatan mendapati lokasi kejadian itu terletak agak pendalaman iaitu dalam sebuah ladang sawit," katanya.

Katanya, polis turut merampas sehelai baju, seluar jeans, sepasang selipar dan pemetik api yang dipercayai digunakan suspek ketika membakar lori dan pondok itu dan kerugian dianggarkan RM10,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan 436 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: October 16, 2021 @ 6:25pm
d