mutakhir

Cadang tambah bilangan renjer hidupan liar

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Kerajaan bercadang menambah bilangan renjer hidupan liar bagi membantu mengawal aktiviti pencerobohan hutan, sekali gus mengekalkan habitat semula jadi haiwan liar.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini lebih 600 renjer dilantik termasuk lebih 400 daripadanya dalam kalangan Orang Asli.

Beliau berkata, baki selebihnya adalah veteran tentera dan polis yang mempunyai kepakaran masing-masing untuk menjaga hutan simpan.

"Pasukan renjer ini dilatih dan berkebolehan mengendalikan kes dalam hutan termasuk menjaga kawasan habitat hidupan liar, sekali gus menghubungkan haiwan itu dengan manusia, misalnya gajah dan sebagainya.

"Kawalan ini penting supaya konflik antara haiwan liar dengan manusia dapat ditangani dengan lebih berkesan. Konflik ini berlaku disebabkan pembukaan kawasan habitat semula jadi mereka tinggal diusik atau diteroka.

"Pasukan ini akan mengawal hutan bagi mengelakkan aktiviti pencerobohan berlaku di satu-satu kawasan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, kawasan habitat haiwan liar itu diusik mungkin disebabkan berlakunya pembangunan.

Menurutnya, pasukan renjer terbabit memiliki kepakaran masing-masing dan turut diberi latihan secukupnya, selain diberi elaun khas.

Disiarkan pada: October 17, 2021 @ 2:10pm
d