mutakhir

Timbalan KP Kuala Lumpur 2 kali jadi modal 'scammer'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: "Betapa liciknya helah sindiket Macau Scam sehingga saya sendiri dijadikan 'modal' mereka untuk menipu ahli keluarga saya," kata Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo.

Menceritakan semula kejadian itu yang berlaku enam tahun lalu, Lei Choo berkata, kakaknya dihubungi individu mendakwa dirinya pegawai polis.

"Dalam panggilan itu, 'pegawai polis' itu memberitahu kakaknya kononnya saya ditahan di lokap dan individu berkenaan juga memperdengarkan suara seorang lelaki yang didakwa sebagai diri saya.

"Mujur kakak saya tidak tertipu kerana suara jeritan meminta tolong yang kononnya didakwa suara saya ketika berada di lokap itu adalah daripada seorang lelaki," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalamannya menerusi Forum Risiko Jenayah kepada Wanita dalam Program Amanita High Profile Policing di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kepong di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur Datuk Azman Ayob dan Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Menurutnya, beliau juga dimaklumkan mengenai satu lagi kes membabitkan sindiket Macau Scam yang menggunakan namanya bagi menipu mangsa pada September lalu.

"Dalam kes yang dilaporkan di Kuala Lumpur itu, mangsa memaklumkan dia dihubungi seorang pegawai polis bernama Inspektor Yong Lei Choo.

"Mangsa yang percaya dengan helah suspek itu mengalami kerugian kira-kira RM15,000," katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu melakukan semakan dan pengesahan dengan pihak berkuasa sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.

"Apabila terima panggilan telefon daripada individu memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa, buat semakan dulu sebelum melakukan sebarang transaksi.

"Langkah ini penting bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam," katanya.

Menurutnya, penganjuran Program Amanita High Profile Policing itu adalah usaha dilakukan pihak polis bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai trend jenayah semasa.

"Program ini bertujuan untuk mendidik komuniti supaya memainkan peranan dalam membanteras jenayah selain menjadi mata dan telinga kepada pihak polis," katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2021 @ 2:57pm
d