mutakhir

Rebat elektrik bergantung kedudukan kewangan kerajaan

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

Langkawi: Keputusan sama ada rebat elektrik yang dinikmati 9.44 juta pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga 31 Disember ini diteruskan atau tidak akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya sudah membawa perkara berkenaan untuk dibincangkan di peringkat Kabinet, namun keputusan mengenainya belum dibuat.

Menurutnya, rebat elektrik sebanyak dua sen/kWj itu mula diberi kepada pengguna mulai 1 Julai lalu dan dijadual tamat pada penghujung tahun ini.

"Saya sudah bawa perkara ini kepada perbincangan kerajaan, ia bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan, jika keadaan kewangan kerajaan mengizinkan rebat ini boleh diteruskan.

"Kita juga kena tunggu pembentangan Bajet 2022, jika (pemberian rebat) diluluskan Kementerian Kewangan maka boleh dilanjutkan, kita harap ada berita baik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis penyerahan Surat Niat Inisiatif Solar di Dermaga Tanjung Lembung di sini.

Hadir sama Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju, Ahli Lembaga Pengarah TNB Datu Ir Nawawi Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Langkawi (Lada) Nasaruddin Abdul Muttalib.

Jun lalu, kerajaan mengumumkan pemberian rebat elektrik membabitkan peruntukan RM493 juta melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, mengulas mengenai kegiatan perlombongan emas haram yang didedahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah di Lahad Datu kelmarin, beliau berkata, siasatan dan tindakan lanjut akan diambil Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Menurutnya, kerajaan secara umumnya tidak menghalang kegiatan itu, namun ia perlu dilakukan mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihaknya dan kerajaan negeri Sabah.

"Jika perlombongan ini haram dan bercanggah undang-undang, kita tidak galak aktiviti ini dan jika tidak ikut SOP, ia boleh mendatangkan bahaya jika (lombong) runtuh dan mungkin menyebabkan kematian.

"Selain itu, ia (emas) adalah harta kerajaan, mineral hak kerajaan yang menjadi khazanah negara, jadi yang buat secara haram maka sama mencuri dan kita tidak galak dilakukan," katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2021 @ 3:55pm
d