mutakhir

Tukar barangan kitar semula kepada minyak masak

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Idea tukar barangan kitar semula kepada minyak masak dan beras bertujuan mendidik masyarakat kepentingan memulihara alam sekitar.

Langkah itu bakal diperkenalkan melalui projek Life Initiative for Earth (LIFE) anjuran Edotco Malaysia (edotco) dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia.

Pengarah Urusan edotco Malaysia, Wan Zainal Adileen berkata, projek merangkumi lima negeri di Malaysia itu menyasarkan pengumpulan sebanyak 50 tan sampah yang boleh dikitar semula.

Katanya, Selangor dipilih sebagai lokasi pertama projek diikuti Sabah pada 22 hingga 26 Oktober ini, Melaka (23 dan 30 Oktober), Pahang (6 November) dan Perak (21 November).

"Hari ini (semalam) sebanyak 120 bungkusan sampah berjaya dikumpulkan penduduk Kampung Sungai Kajang di sini.

"Langkah itu bermula dengan fasa kesedaran di mana penduduk dididik mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

"Kemudian, ia beralih ke fasa kedua membabitkan program pertukaran bahan kitar semula kepada makanan sebagai penghargaan atas usaha mereka," katanya tadi.

Terdahulu, sebanyak 20 kotak makanan disumbangkan kepada keluarga asnaf yang turut bersama menyokong dan menjayakan projek LIFE.

Selain itu, sebanyak 20 pokok bucida atau dikenali 'pokok doa' ditanam di salah satu lokasi kilang memproses gula sawit terawal di kawasan berkenaan.

Pada masa sama, Wan Zainal berkata, untuk memudahkan pertukaran bahan kitar semula, kaunter pandu lalu akan dibuka bagi memudahkan penduduk menghantar bahan kitar semula yang telah dikumpulkan.

Beliau memberi contoh, satu kilogram kadbod atau kertas boleh menebus satu paket garam, diikuti tiga kilogram kadbod (satu kilogram tepung atau gula), 15 kilogram kadbod (lima kilogram beras), satu kilogram tin atau aluminium (satu kilogram minyak masak) dan 30 beg plastik (satu karton susu).

"Sebagai pertukaran, mereka dapat menebus barang-barang untuk keperluan harian dan berpeluang menerima keperluan makanan asas mengikut kuantiti serta kategori bahan kitar semula yang dikumpulkan.

"Pertukaran ini menawarkan barang keperluan asas seperti beras, susu, minyak masak, tepung, gula dan garam," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GPM Malaysia Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pihaknya terpanggil untuk menjalankan Projek LIFE bersama edotco Malaysia dengan objektif menjaga kelestarian alam di samping membantu golongan asnaf.

"Melalui program ini, kami bakal menyentuh beberapa teras daripada sasaran pembangunan mampan (SDGs) yang telah dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Disiarkan pada: October 17, 2021 @ 7:02pm
d