mutakhir

Susunan saf solat di masjid dan surau, dibincang Rabu ini

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Kebenaran merapatkan susunan saf solat berjemaah di masjid dan surau akan diputuskan melalui Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI), Rabu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, muzakarah yang akan bersidang ini turut membincangkan prosedur operasi standard (SOP) masjid dan surau .

Menurutnya, beliau sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengadakan muzakarah ini susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai peralihan fasa dan kelonggaran SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Oktober lalu.

"Muzakarah pada kali ini bertujuan untuk mendengar taklimat mengenai penilaian risiko semasa Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan membincangkan beberapa isu SOP khususnya mengenai aktiviti masjid dan surau.

"Perbincangan ini termasuk cadangan SOP untuk merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah," katanya melalui satu kenyataan media.

Beliau berkata, ahli muzakarah yang hadir ini terdiri daripada mufti-mufti negeri, ahli-ahli yang dilantik dalam kalangan pakar, wakil daripada KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya percaya muzakarah ini akan dapat mencapai suatu keputusan demi maslahah orang ramai dan berharap aktiviti masjid dan surau khususnya solat berjemaah akan dibenarkan seperti sedia kala dengan pematuhan SOP tertentu," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 8:35am
d