mutakhir

Hidup tak keruan selepas bunuh ular

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Seorang warga emas bertindak menggantung diri selepas mengalami tekanan sebaik membunuh seekor ular yang memasuki salah sebuah bilik di rumahnya di Kampung Lumpur, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, mangsa yang berusia 67 tahun itu dilaporkan mengalami tekanan dan ketakutan sebaik membuang bangkai ular yang dipukulnya menggunakan sebatang kayu.

Katanya, isteri mangsa berusia 61 tahun yang menyedari perubahan pada suaminya kemudian ke rumah saudara yang berdekatan untuk meminta bantuan.

"Bagaimanapun, sebaik kembali ke rumah ditemani beberapa saudara lain, mereka terkejut melihat mangsa menggantungkan diri pada tali buaian di ruang tamu.

"Salah seorang saudara cuba membuka tali berkenaan tetapi gagal menyebabkan mereka bertindak memotong tali terbabit menggunakan parang sehingga putus.

"Mangsa jatuh ke lantai dan tidak sedarkan diri sebelum warga emas itu dibawa ke hospital berdekatan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, isteri mangsa mengakui suaminya sudah lama mengalami tekanan, murung dan emosi tidak menentu.

"Dia mengambil keputusan datang ke balai polis untuk membuat laporan kerana bimbang perkara itu berulang dan mahu merujuk pihak hospital agar suaminya mendapat rawatan sebaiknya.

"Saya menasihatkan orang ramai agar peka dengan keadaan pelakuan dan kesihatan ahli keluarga selain mendapatkan nasihat pakar supaya perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 1:22pm
d