mutakhir

Tunjuk kemaluan kepada pelajar kelas memandu

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Puteh: Polis menahan lelaki berusia 40-an yang juga 'runner' institut kelas memandu selepas dipercayai menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita di dalam kereta di Kampung Saring, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 27 tahun yang juga pelajar di sekolah memandu di jajahan Bachok.

Katanya, polis menahan suspek di rumahnya di Kampung Telong, Bachok, hari ini, untuk siasatan lanjut atas perbuatan tidak bermoral dilakukannya.

"Berdasarkan laporan, suspek ditugaskan untuk mengambil dan menghantar pelajar kelas memandu, namun ketika kejadian dia bertindak berani mengeluarkan kemaluan untuk ditunjukkan kepada mangsa.

"Suspek pada awalnya membawa beberapa pelajar untuk pulang ke rumah selepas latihan memandu sehingga hanya tinggal suspek yang memandu kereta Perodua Viva dan mangsa berada di tempat duduk penumpang hadapan.

"Ketika dalam perjalanan menghantar mangsa, suspek dikatakan membuka zip seluar sebelum mengeluarkan kemaluannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azmir berkata, terkejut dengan tindakan itu, mangsa menghubungi ibu saudara supaya mengambilnya dengan segera, selain mengarahkan lelaki itu memberhentikan kereta, namun tidak diendahkan.

Beliau berkata, wanita berkenaan bertindak membuka pintu sewaktu kereta sedang bergerak sehingga memaksa suspek memberhentikan kenderaan sebelum mangsa keluar melarikan diri ke kawasan rumah penduduk untuk meminta bantuan.

"Susulan laporan daripada mangsa, polis menahan suspek untuk disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

"Saya menasihatkan orang ramai terutama golongan wanita untuk bijak mengambil tindakan sekiranya berlaku kecemasan termasuk segera menelefon keluarga terdekat bagi meminta pertolongan," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 8:02pm
d