mutakhir

Reman anggota tentera terbabit kes bunuh disambung [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Perintah reman terhadap anggota tentera yang dipercayai membunuh pesara tentera di Taman Ngah Ibrahim, di sini, pada 10 Oktober lalu disambung tujuh hari lagi bermula esok.

Majistret Mahkamah Taiping, Nurfarah Syahidah Mohd Noh membenarkan permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyambung reman terhadap suspek berumur 34 tahun sehingga 27 Oktober ini bagi membolehkan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Suspek tiba di perkarangan mahkamah jam 8.30 pagi tadi dengan memakai baju lokap berwarna jingga.

Pada 14 Oktober lalu, suspek yang berkhidmat sebagai Pegawai Waran di sebuah kem tentera di Kamunting, di sini, direman tujuh hari sehingga hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Reman dilaksanakan bagi membolehkan siasatan berhubung kes culik dan bunuh pesara tentera yang mayatnya dijumpai pada 13 Oktober lalu dengan sembilan kesan tikaman pada badan di kawasan terletak kira-kira 60 meter dari tepi jalan di Bukit Sumpitan, Selama.

Seorang lagi suspek iaitu lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sendiri direman sehingga 22 Oktober ini. Pada 13 Oktober lalu, pesara tentera berusia 42 tahun ditemukan maut dengan sembilan kesan tikaman iaitu lima tikaman di belakang badan dan empat tikaman di bahagian hadapan.

Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh tiga hari sebelum mayatnya dijumpai dengan punca kejadian dipercayai akibat cemburu apabila mangsa dituduh mempunyai hubungan sulit dengan isteri suspek.

Pada 11 Oktober lalu, polis menerima laporan daripada anak saudara mangsa yang tinggal bersebelahan memaklumkan bapa saudaranya dilarikan dari kediaman di Taman Ngah Ibrahim, secara paksa oleh dua suspek bersenjatakan besi kira-kira jam 3 petang.

Disiarkan pada: October 20, 2021 @ 11:17am
d