mutakhir

Buaya seberat 300kg terperangkap dalam parit

Oleh Juwan Riduan

Lahad Datu: Seekor buaya sepanjang lebih tiga meter ditangkap selepas terperangkap di dalam saluran parit di pusat peranginan Felda Residence, Wilayah Sahabat di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.25 malam itu, pihak pengurusan pusat peranginan yang menyedari kehadiran buaya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lahad Datu untuk mendapatkan bantuan.

Jurucakap APM Sabah berkata, sebaik menerima makluman, sepasukan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian.

"Pasukan operasi terpaksa menggunakan perangkap tali untuk mengeluarkan buaya itu dari dalam parit saluran air.

"Usaha itu akhirnya berjaya pada jam 2.11 pagi dan APM menghubungi Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk proses penyerahan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, buaya tembaga itu seberat 300 kilogram dengan panjang 3.2 meter.

"Buaya berkenaan diserahkan kepada JHL untuk tindakan selanjutnya pada jam 2.30 petang semalam," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2021 @ 12:57pm
d