mutakhir

Nur Sajat tunjuk rumah baharu

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat menerusi perkongsian di Instagram miliknya berkongsi gambar rumah baharunya di Canterbury, Australia.

Berdasarkan 'live' Instagram miliknya pagi semalam, dia menyatakan rasa terharu kerana pihak berkuasa Australia banyak memberi sokongan terhadapnya daripada pelbagai aspek termasuk mendakwa diberi rumah itu.

"Saya sekarang berada di Australia, tak nak pandang belakang dah. Saya sekarang sedang menjalani kuarantin, tak sabar nak habis dua minggu nanti nak pergi jalan-jalan.

"Dekat sini, saya dikelilingi orang yang mengambil berat tentang diri saya dan temui kebahagiaan dekat sini. Pihak berkuasa Australia banyak sokong saya macam hantar pergi kelas tambahan, perbaiki skil bisnes dan kelas bahasa Inggeris serta beri rumah," katanya.

Malah secara berseloroh dalam perkongsian itu ketika menonton rancangan televisyen berkaitan kambing dan lembu dipercayai di dalam bilik hotel di mana dia menjalani kuarantin, Nur Sajat mengakui seronok jika menjalankan perniagaan membela haiwan itu di Australia.

"Bestnya tak sabar nak habis kuarantin nak hempas-hempas," katanya.

Harian Metro menerusi laporan eksklusif sebelum ini melaporkan, Muhammad Sajjad ditahan Imigresen Thailand pada 6 petang 8 September lalu, kerana memiliki pasport tidak sah.

Usahawan kosmetik itu kemudian dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara itu.

Dia didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September, bagaimanapun dibebaskan keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan selain diarah melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari.

Ketika berada di Thailand, dia menjadi pemegang kad pelarian Suruhanjaya Pelarian Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal hadir pada sebutan semula kesnya tanpa sebab pada 23 Februari lalu.

Dia turut dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan.

Disiarkan pada: October 20, 2021 @ 4:09pm
d