mutakhir

Penyamun berkain pelikat akhirnya tumpas

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Polis berjaya menahan penjenayah berkain pelikat sekali gus menyelesaikan lima kes samun membabitkan kedai serbaneka dan kedai runcit di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berumur lingkungan 30-an itu ditahan di rumah keluarga di Sungai Soi, di sini, kelmarin.

Katanya, sejak pertengahan September lalu, pihaknya mengesan kegiatan seorang lelaki melakukan jenayah kekerasan iaitu samun bersenjatakan parang di daerah ini.

"Sebanyak lima laporan diterima membabitkan kejadian samun kedai serbaneka dan kedai runcit.

"Bertindak atas maklumat kejadian samun di sebuah kedai serbaneka di Indera Mahkota pada 12.30 tengah malam kelmarin, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kuantan berjaya menahan lelaki terbabit.

"Hasil tangkapan itu, sebilah parang, sebuah telefon bimbit dan kain pelikat dipakai ketika kejadian dirampas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek melakukan samun secara bersendirian dengan memakai kain pelikat yang turut digunakan untuk menyembunyikan parang.

Katanya, lelaki yang bekerja sebagai tukang kebun itu berpura-pura masuk ke dalam premis untuk membeli barang sebelum mengacukan senjata untuk menakutkan mangsa.

"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ujian saringan air kencing mendapati positif syabu.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan denda dan sebat. Suspek ditahan reman sehingga 24 Oktober ini.

"Dengan penahanan lelaki ini, polis berjaya menyelesaikan lima kes samun yang dilaporkan berlaku di daerah ini sejak pertengahan September lalu," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2021 @ 4:27pm
d