mutakhir

3 lintasan gajah di Johor dikenal-pasti

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Jika ternampak papan tanda lintasan hidupan, pengguna jalan raya perlu mengurangkan kelajuan kenderaan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Aminudin Jamin berkata, tindakan itu mampu mengurangkan risiko kemalangan, termasuk kemalangan maut, antara manusia dan gajah.

"Ada tiga kawasan lintasan gajah yang dikenal pasti di Johor iaitu Jalan Kahang-Jamaluang, Jalan Kota Tinggi-Mersing dan Jalan Kluang-Kota Tinggi.

"Sehingga kini, dua kes manusia melanggar gajah direkodkan iaitu pada 1 September 2020 di Jalan Kota Tinggi-Mersing yang menyebabkan kecederaan dan 16 Oktober lalu di Jalan Kluang-Kota Tinggi yang menyebabkan kematian," katanya.

Beliau berkata demikian susulan kemalangan maut yang menyebabkan seorang penolong jurutera sebuah universiti awam terbunuh selepas Honda City dipandunya terlanggar seekor gajah liar yang keluar dari kawasan hutan pada kejadian di Kilometer 70, Jalan Kota Tinggi-Kluang, 16 Oktober lalu.

Aminuddin berkata, ada panduan yang boleh diikuti oleh orang ramai sekiranya mereka terserempak gajah bagi mengelakkan haiwan berkenan menjadi agresif.

"Jangan bunyikan hon, rendahkan lampu dan jangan tinggikan lampu kenderaan," katanya.

Beliau berkata, bagi mengurangkan risiko haiwan berkenaan terdedah kepada konflik dengan manusia, kerajaan sudah melaksanakan langkah perlu seperti mengadakan koridor laluan gajah dan pemasangan sistem pagar elektrik.

"Selain itu, kami melakukan pemasangan kolar satelit pada gajah untuk mengetahui pergerakan haiwan berkenaan selain memudahkan kakitangan jabatan mengambil tindakan awal.

"Pemasangan papan tanda dan had kelajuan di kawasan lintasan hidupan liar dan pemasangan lampu 'amber light' di tepi jalan raya kawasan lintasan hidupan liar turut dilakukan," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2021 @ 5:12pm
d