mutakhir

Kit ujian kendiri pertama keluarkan sijil digital [METROTV]

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Dewina Consult Sdn Bhd memperkenalkan Inspect System bagi pendaftaran maklumat dan pemerhatian kit ujian kendiri Covid-19 lebih inovatif, hari ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim's Dewina Consult, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, syarikatnya adalah pengimport dan pengedar sah Newgene Covid-19 Antigen Test Kit (ATK) di Malaysia.

Beliau berkata, sehubungan itu, mereka mencipta Inspect System bagi memberi kemudahan kepada pelanggan yang menjalankan ujian kendiri Covid-19 serta mendaftarkan maklumat dengan lebih sistematik.

"Malah kemudahan lain seperti kod QR untuk setiap unit kit ujian kendiri disediakan bagi mengelakkan kes penipuan, memastikan kebolehcapaian dan kebolehkesanan, meningkatkan pengawasan Covid-19 dengan hasil masa nyata dan penjanaan sijil digital.

"Kit itu turut mempunyai QR Dewina dan kos pengesahan dan keputusan ujian dinyatakan pada sijil digital adalah sah selama tiga hari.

"Inspect System adalah sistem pertama dalam pasaran Malaysia yang mengeluarkan sijil digital selepas kit kendiri serta serasi dengan sistem MySejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewina Consult Sdn Bhd bersama eMedAsia di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, kerjasama dengan eMedAsia akan dapat memantapkan lagi aktiviti mempromosikan Newgene Covid-19 ATK bersama Inspect System.

Menurutnya, Newgene Covid-19 ATK akan dapat diperoleh menerusi platform eMedAsia terutama kepada 8,000 klinik dan pelanggan Koop Malaysia Medical Association (MMA) seluruh Malaysia.

Disiarkan pada: October 20, 2021 @ 8:31pm
d