mutakhir

Guna 'syarikat cengkerang' untuk tipu Perkeso [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Syarikat yang memohon Program Subsidi Upah (PSU) yang dimulakan sejak Mac tahun lalu didapati menurun.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perlis, Basharudin Khalid berkata, ia disebabkan penguatkuasaan syarat lebih ketat bagi mengelakkan cubaan menipu tuntutan PSU.

"Bagi PSU 4.0 pada Ogos lalu, daripada 258 permohonan syarikat membabitkan 2,639 pekerja di negeri ini, kita hanya meluluskan sebanyak 32 syarikat bagi 278 pekerja dengan jumlah keseluruhan tuntutan sebanyak RM166,800.

"Ini berbanding PSU 3.0 yang bermula pada Januari lalu yang mana kita menerima sebanyak 776 permohonan membabitkan 6,885 pekerja, namun hanya 642 permohonan syarikat sahaja membabitkan 5,491 pekerja yang diluluskan.

"Permohonan ini ditolak bukan semata-mata kerana cubaan penipuan oleh pihak majikan, namun ada juga syarat yang tidak menepati kriteria," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Jubli Emas 50 Tahun Perkeso 2021 Peringkat Negeri Perlis, di sini hari ini.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Negeri Perlis, Rozieana Ahmad dan Timbalan Pengarah Perkeso Perlis, Balkis Abd Rahman.

Pada majlis itu, seramai enam waris menerima cek faedah daripada Perkeso mengikut peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Basharudin berkata, pihaknya turut mengesan ada syarikat menggunakan pelbagai strategi untuk menipu tuntutan, termasuk mengemukakan nama pekerja yang tidak memenuhi syarat untuk PSU atau menuntut subsidi untuk kakitangan yang sudah diberhentikan.

"Malah, ada syarikat yang didapati tidak membayar kakitangannya walaupun mendapat subsidi ini dan ada juga menggunakan 'syarikat cengkerang' (shell company) untuk menipu Perkeso.

"Bagaimanapun, kita mempunyai cara dan mekanisme untuk meneliti syarikat serta mengesan kemungkinan berlakunya penipuan ini," katanya.

Beliau berkata, syarikat atau majikan yang berdaftar di Perlis digalakkan untuk terus memohon PSU bagi kelangsungan syarikat dan pekerja mereka dalam situasi penularan pandemik Covid-19 masih sedang melanda negara.

Disiarkan pada: October 22, 2021 @ 4:11pm
d