mutakhir

Pengunjung teruja dapat berkelah, tetap patuh SOP [METROTV]

Oleh Yun Mikail

Kota Kinabalu: Pembukaan semula kawasan taman awam di sekitar bandar raya bermula hari ini disambut baik warga setempat terutama penggemar aktiviti riadah.

Tinjauan di Pantai Tanjung Aru Satu di sini, mendapati lokasi berkenaan sudah mula dikunjungi pengunjung seawal 6 pagi.

Seorang pengunjung, Siti Nur Ain Kamsani, 34, berkata, dia dan keluarga tiba di pantai terbabit pada 7 pagi kerana mahu menikmati suasana pagi di kawasan itu.

"Ia seperti suatu kenikmatan selepas sekian lama kita terkurung di rumah ekoran pandemik Covid-19.

"Anak-anak pastinya paling gembira apabila dimaklumkan akan pergi berkelah hari ini malahan menyatakan terujaan mereka untuk mandi laut kerana sudah lama tidak berbuat demikian.

"Suami pula melakukan aktiviti kayak dengan rakan-rakannya. Oleh itu, saya bersama anak-anak berkelah di sini sementara menunggu suami selesai berkayak," katanya yang menetap di Taman Limauan, Kinarut.

Seorang lagi pengunjung Pantai Tanjung Aru Satu, Ikman Asiran, 25, menyatakan dia dan rakannya teruja datang ke pantai berkenaan untuk bersiar-siar.

"Pembukaan semula ini suatu perkara yang positif disebabkan orang awam boleh datang melaksanakan pelbagai aktiviti di sini sama ada bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

"Kita sebelum ini sudah terlalu lama berada di rumah dan tidak dibenarkan merentas daerah serta negeri.

"Apabila taman-taman awam dibuka semula, sekurang-kurangnya kita tidak perlu berjalan jauh jika mahu berehat serta menenangkan fikiran daripada urusan harian," katanya.

Bagaimanapun, Ikman menyatakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) haruslah sentiasa dipatuhi bagi mengelakkan kes postif Covid-19 di Sabah semakin meningkat.

Sementara itu, Ketua Pasukan Menara Penyelamat Pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Mohd Azlan Shah Minggu berkata, pihaknya melaksanakan semu SOP berkaitan pantai dalam memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku di kawasan terbabit.

"Kita juga sudah meletakkan bendera yang bersesuaian dengan situasi semasa agar pengunjung lebih peka sekiranya mahu mandi di pantai ini.

"Pasukan pemantau di menara tinjau ini juga sentiasa bersiap siaga melaksanakan rondaan dan pemantauan turut sentiasa dibuat sama ada sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun apabila pembukaan semula diumumkan," katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2021 @ 2:02pm
d