mutakhir

'Kantoi' cuba pindah minyak

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis menggagalkan cubaan bot persiaran memindahkan minyak secara haram ke kapal kargo berhampiran Terminal Feri Penumpang di Kuah, di sini, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, penahanan dibuat susulan aduan awam pada 2.05 petang.

"Sejurus menerima aduan, bot ronda Perkasa 1225 diatur gerak ke lokasi iaitu di kedudukan 0.5 batu nautika di Barat Laut, Terminal Feri Penumpang di Kuah untuk menyiasat.

"Sejurus tiba di lokasi mendapati kedua vesel itu sedang berlabuh dengan bot persiaran dikesan sedang memindahkan minyak tanpa kebenaran ke kapal kargo berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, malah ketika pemeriksaan nakhoda kapal juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti pemindahan minyak atau 'ship to ship' (STS).

"Bot persiaran dan kapal kargo terbabit masing-masing dikendalikan enam dan empat kru berusia antara 25 hingga 45 tahun termasuk seorang daripadanya warga Thailand.

"Kesemua kru dan barangan rampasan dibawa ke Pangkalan Maritim Malaysia di Bukit Malut di sini, untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(I) dan Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana disyaki menjalankan aktiviti 'ship to ship' (STS) tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Disiarkan pada: October 23, 2021 @ 6:45pm
d