mutakhir

Lapangan terbang antarabangsa bakal dibina di Gebeng

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Kerajaan Persekutuan pada dasarnya bersetuju meluluskan cadangan projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Gebeng, di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, persetujuan itu hasil mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), baru-baru ini.

Katanya, kerajaan negeri mencadangkan projek pembinaan itu dengan mengambil kira keperluan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Pahang terutama di Pantai Timur.

"Kita dapati di Semenanjung, lapangan terbang antarabangsa sudah ada di Sepang, Pulau Pinang dan Johor kecuali di Pantai Timur. Itu antara alasan cadangan pembinaan lapangan antarabangsa di Pahang.

"Pada masa sama, Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS) di sini menumpang lapangan terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Bagi kerja menaik taraf pembesaran LTSAS, ia tidak dapat dilakukan kerana ruang yang terhad selain faktor keselamatan," katanya pada sidang media sempena Sesi Libat Urus Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed .

Wan Rosdy berkata, sekiranya lapangan terbang antarabangsa direalisasikan, ia akan mewujudkan penerbangan dari negara luar terus ke Kuantan.

"Ia akan memudahkan kedatangan pelancong luar negara seperti China, Singapura dan Thailand serta urusan perniagaan.

"Projek ini mempunyai beberapa fasa bermula dengan pembinaan lapangan terbang, pusat beli-belah dan hotel," katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2021 @ 8:27pm
d