mutakhir

Tahniah cikgu Komathy

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kegigihan guru kimia Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ave Maria Convent Ipoh, V Komathy, 38, membuahkan hasil apabila berjaya melakar nama di peringkat antarabangsa apabila dianugerahkan Global Teacher Award (GTA) 2021 hari ini.

Guru yang berasal dari Ipoh ini berjaya mencetuskan beberapa inovasi bagi memudahkan pelajar memahami subjek yang penuh formula dan sukar itu.

Secara keseluruhannya, sebanyak 26,000 penyertaan diterima daripada pelbagai negara sebelum 500 peserta disenarai pendek di peringkat akhir pertandingan.

Pengumuman anugerah itu diumumkan melalui webinar yang diadakan hari ini.

Komathy berkata, dia berasa bangga dengan pengiktirafan itu dan menjadikannya motivasi untuk menyumbangkan kepada pembangunan negara demi mendidik dan melahir anak bangsa lebih maju.

"Saya akan mengorak langkah untuk memberi pembaharuan pendidikan kimia, saya sebagai guru ingin menyumbang banyak kepada bidang kimia dan pembangunan keseluruhan pelajar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Silibin Ria di sini.

Menurutnya, dia lebih bersemangat untuk terus menghasilkan lebih banyak inovasi lain.

"Saya juga ada mendapat beberapa pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan menghasilkan penulisan ilmiah seperti buku kimia dan beberapa kajian tindakan kimia serta membuat beberapa inovasi.

"Setakat ini saya menghasilkan lapan inovasi untuk pendidikan kimia bagi kegunaan guru dan pelajar untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran subjek kimia," katanya.

Selain itu, dia turut berjaya membawa pelajar ke pertandingan di peringkat antarabangsa.

"Saya sebelum ini mengajar di SMK Buntong yang mana saya berjaya pelajar ke peringkat antarabangsa mewakili Malaysia.

"Pada tahun ini saya ada membawa pelajar dari SMK Ave Marian Covent juga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Dia berkata, pelbagai cabaran diterima semasa mengajar namun pelajar menjadi sumber inspirasi untuknya terus mengorak langkah dalam bidang itu.

"Bagi saya, inspirasi lahir daripada murid, ini kerana atas keperluan merekalah saya berusaha," katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2021 @ 12:13am
d