mutakhir

Penganggur ada masalah mental pecahkan cermin 12 kereta [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

Kuala Langat: Polis menahan seorang penganggur yang dipercayai memecahkan cermin 12 kereta di tempat letak kenderaan di hadapan Public Bank Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata, tangkapan ke atas suspek yang berumur 39 tahun itu dibuat susulan laporan orang awam yang menyaksikan kejadian.

"Pada jam 9.30 pagi semalam, pemilik kenderaan melihat seorang lelaki memegang besi sepanjang 1.2 meter dan memecahkan cermin hadapan keretanya.

"Siasatan mendapati suspek melakukan perbuatan sama dengan memecahkan cermin 12 kereta di kawasan berkenaan.

"Sebaik mendapat makluman daripada orang awam, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bergegas ke lokasi dan membuat tangkapan terhadap suspek di tempat kejadian dan merampas sebatang besi berwarna biru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengalami tekanan emosi dan semakan mendapati dia pernah dirawat sebagai pesakit mental.

Bagaimanapun katanya, suspek sudah lama tidak menerima rawatan psikiatri dari mana-mana hospital sakit jiwa.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek yang belum berkahwin dan berasal dari Banting itu memiliki tiga rekod atas kesalahan narkotik.

"Tetapi ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif daripada apa-apa jenis dadah," katanya.

Beliau berkata, setakat ini polis menerima lima laporan daripada pemilik kereta yang mengalami kerugian daripada kejadian terbabit.

"Suspek ditahan di IPD Kuala Langat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat," katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2021 @ 11:32am
d