mutakhir

Rezeki lima angka udang putih [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Bachok: Langkah berani graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menggunakan kaedah biofloc untuk menternak udang putih mendatangkan hasil apabila mampu meraih pendapatan sehingga lima angka sebulan.

Muhammad Naim Saa'ri, 32, berkata, biofloc adalah kaedah penternakan memanfaatkan kewujudan mikroorganisma bagi menambah baik ekosistem air, sekali gus mempercepatkan kadar tumbesaran udang diternak selain meningkatkan kualitinya.

Menurutnya, pada Jun lalu, dia mula menternak 50,000 benih udang putih diisikan di dalam lima tangki gentian kaca, namun 25 peratus daripada udang putih itu mati disebabkan kualiti air dan kekurangan oksigen.

"Bagaimanapun, kegagalan itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus menternak udang putih, sebaliknya mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan dan penternak berpengalaman untuk mengelakkan berlaku perkara sama sehingga menyebabkan kerugian.

"Berkat kesabaran selain tidak mudah berputus asa, saya kini mempunyai 23 tangki dengan jumlah udang putih 150,000 ekor diternak di atas tanah seluas 0.28 hektar dan disewa dengan bayaran RM5,000 setahun," katanya ketika ditemui di kolam udang miliknya di Kampung Tok Kederat, di sini, hari ini.

Bapa kepada empat anak berusia di antara dua hingga enam tahun itu berkata, setiap tangki dipasang dengan paip bagi memudahkan air laut disedut dan dimasukkan ke dalam tangki dan jarak antara pesisir pantai dengan kawasan ternakan udang putih kira-kira 15 meter.

Menurutnya, tangki itu boleh memuatkan antara 5,000 hingga 15,000 udang putih dan setiap tangki dapat menghasilkan sehingga satu tan udang putih yang dijual pada harga antara RM40 dan RM60 sekilogram.

Katanya, kebiasaannya dia akan memberi udang putih ini makan palet sebanyak tiga kali sehari dengan kos RM3,000 sebulan dan ada ketikanya memberi gula melaka yang bertujuan untuk mengurangkan amonia di dalam air.

"Tanpa pengalaman dalam bidang ini, saya perlu rajin bertanya dan mencari maklumat berkaitan akuakultur kerana tidak mahu menjalankan perusahaan ini hanya sekerat jalan.

"Alhamdulillah, lama-kelamaan ternakan udang putih diusahakan ini laris untuk dijadikan sebagai umpan memancing dan kini mempunyai pembeli tetap terdiri daripada kaki pancing di sekitar daerah Pasir Puteh, Kota Bharu dan Tumpat," katanya yang juga graduan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang.

Menurutnya, menternak udang putih lebih mudah berbanding ikan siakap, tilapia dan patin kerana dalam tempoh 70 hingga 120 hari bergantung kepada permintaan ternakan boleh dijual kepada pemancing.

Katanya, jenis makanan, kandungan oksigen dan peratusan air masin dalam kolam penting untuk mendapatkan hasil terbaik dan memuaskan.

"Perasaan puas dan bangga hanya akan hadir apabila udang putih dalam tangki dituai, malah penat lelah selama ini seolah-olah hilang.

"Keuntungan diraih dapat menampung keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya yang kini sedang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Kota Bharu.

Disiarkan pada: October 27, 2021 @ 5:04pm
d