mutakhir

'Tandas kayangan' di stesen minyak [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Demi mengubah persepsi tandas sebagai tempat kotor, seorang usahawan membina bilik air bertemakan kayangan di stesen minyak miliknya, dekat Melor, di sini.

Malah, sesiapa yang singgah di stesen minyak itu untuk ke tandas pasti teruja dengan hiasan cantik bertemakan keemasan selain terdapat kemudahan seperti pendingin hawa, televisyen, meja solekan, radio serta mesin penapis air panas dan sejuk disediakan di dalam bilik air terbabit.

Pemiliknya, Datuk Dr Ahmad Omar, 84, mengakui ada sesetengah pengunjung menganggap tandas itu pelik pada awalnya, namun gembira selepas merasai sendiri pengalaman berada di bilik air bersih, selesa dan dilihat mewah.

"Ada yang ketawakan atau kecaman terhadap usaha saya ini, tetapi ia tidak mematahkan semangat untuk terus menyiapkan tandas ala kayangan demi memastikan 'tempat membuang' di sini lebih menarik.

"Terdapat pelbagai kemudahan lain di tandas ini seperti minyak wangi, alat solek, pisau cukur dan peti ubat yang semestinya tidak terfikir oleh pengunjung.

"Justeru, inilah antara keistimewaannya selain daripada suasana mewah susulan tema keemasan digunakan. Sebelum ini, kita dididik dengan pemikiran tandas awam adalah tempat kotor dan tidak terjaga, jadi kelainan ini saya buat untuk memberi kebajikan kepada orang ramai dan menghakis pemikiran negatif itu dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui di stesen minyak miliknya, dekat Melor, di sini, semalam.

Ahmad berkata, ramai pelanggan stesen minyak di situ tidak melepaskan peluang menggunakan tandas berkenaan, tidak kurang juga bergambar dan mengambil video kerana menganggap ia suatu kelainan.

Menurutnya, apa yang dilakukannya itu adalah untuk keselesaan pengunjung, sekali gus mengubah stigma masyarakat bahawa bilik air sebagai tempat kotor.

Katanya, bagi memastikan ia sentiasa bersih dan terjaga, terdapat pekerja khusus untuk menjaga tandas ini termasuk memastikan barangan dalam keadaan selamat.

Disiarkan pada: October 28, 2021 @ 3:38pm
d