mutakhir

Status pembinaan PDF sisa radioaktif Lynas diumum bulan depan

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bakal mengumumkan keputusan rasmi mengenai cadangan pembinaan tapak pelupusan kekal (PDF) sisa radioaktif kekal di kilang Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) pada bulan depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sehingga kini tapak yang dikenal pasti bagi pembinaan kemudahan itu adalah di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan yang sedang melalui proses penilaian sebelum diberi kelulusan pembinaan.

Beliau berkata, pemindahan sisa radioaktif itu boleh disegerakan dengan mempercepatkan pembinaan kemudahan PDF.

"Sebelum kelulusan pembinaan, LPTA mensyaratkan dua aspek penilaian utama dipatuhi iaitu Penilaian Impak Radioaktif (RIA) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

"Penilaian RIA dan EIA sudah dihantar ke LPTA dan JAS pada September lalu dan bulan depan keputusan akan dibuat," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Tack (PH-Bentong) sama ada LPTA masih berpendirian bahawa sisa radioaktif yang terkumpul di kilang Lynas perlu dipindahkan segera.

Sementara itu, Dr Adham berkata, sehingga kini lesen kilang Lynas dilanjutkan hingga 2023.

Menjawab soalan tambahan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) mengenai rasional pemilihan PDF di Gebeng sedangkan kedudukan air bawah tanahnya adalah kurang dari satu meter, Dr Adham bagaimanapun berkata, penilaian awal RIA kawasan itu diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko rendah dilanda banjir.

"Pemilihan PDF di Gebeng adalah selamat kerana kawasan itu tidak terbabit dengan banjir besar sebelum ini, selain kedudukan tapaknya dinaikkan setinggi lima meter dari paras laut," katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata, nadir bumi adalah salah satu sumber kekayaan negara yang baharu di mana terdapat keperluan untuk menerokainya dan diproses di negara ini.

Katanya, atas dasar itu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan terus bekerjasama dengan LPTA dan Agensi Angkasa Malaysia untuk mengesan nadir bumi sebagai sumber kekayaan negara.

Disiarkan pada: October 28, 2021 @ 5:35pm
d