mutakhir

Mohd Adib GPMS terima Anugerah Perdana Belia Negara 2021

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Saya dedikasikan kemenangan ini kepada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kerana beri ruang dan peluang menerusi aspek kepimpinan dan pembabitan saya dalam pertubuhan belia.

"Insya-Allah saya akan teruskan dengan pelbagai program untuk belia dan berharap kemenangan ini memberi motivasi kepada rakan-rakan lain," kata Ketua Penerangan GPMS Mohd Adib Anas Md Noor.

Aktivis belia itu menerima Anugerah Perdana Belia Negara 2021 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas 20 tahun bersama GPMS dan pertubuhan belia di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM), kejayaan ini adalah kemenangan terbesar sepanjang pembabitannya dalam pertubuhan belia di Malaysia.

"Ia bukan sahaja sebagai penyuntik semangat kepada saya, malah ia mampu membangkitkan motivasi dalam kalangan belia berpersatuan untuk terus menyumbang khidmat dan bakti kepada masyarakat dan negara," katanya yang juga Pengerusi GPMS Pulau Pinang.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebanyak 128 buah program dilaksanakan dengan pembabitan 150 agensi berkaitan selaku rakan strategik.

Menurutnya, kementeriannya mempunyai misi yang jelas iaitu memacu kemajuan belia dan sukan secara holistik untuk memenuhi aspirasi negara.

"Saya menyeru supaya platform digital dan media sosial dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh belia kita.

"Kita memerlukan belia yang matang, pintar teknologi dan kukuh adab dan kesopanannya.

"Satu dari platform yang boleh menyerlahkan potensi sedia ada adalah melalui aktiviti berpersatuan," katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2021 @ 10:34pm
d