mutakhir

Cemas bayi terperangkap dalam MPV

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Wanita berdepan detik cemas selepas bayi lelakinya terperangkap di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan rumahnya di Taman Sempelang, di sini, hari ini.

Difahamkan, bayi berusia setahun itu ditinggalkan bersendirian oleh ibunya kerana ingin mengambil sesuatu di dalam rumah sebelum pintu kenderaan tiba-tiba terkunci.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.22 pagi.

Katanya, sepasukan 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dihantar ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, bayi berkenaan masih berada di dalam kenderaan berkenaan dalam keadaan enjin dan penghawa dingin masih berfungsi.

"Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kenderaan Toyota Avanza berkenaan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, pintu kenderaan berkenaan berjaya dibuka dan bayi lelaki terbabit juga selamat.

Disiarkan pada: October 31, 2021 @ 4:46pm
d