mutakhir

Peniaga maut dalam kemalangan

Oleh Rosli Ilham

Dungun: Peniaga maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 357.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) dekat Plaza Tol Kuala Dungun, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 9.40 pagi, mangsa Chow Soon Khong, 20, yang beralamat di Taman Lembah Maju, Ampang maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa dari arah Kuala Terengganu dalam perjalanan ke Bandar Dungun.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, kereta Toyota Camry dipandu mangsa tiba-tiba melanggar belakang lori balak yang bergerak perlahan di lorong kiri.

"Rempuhan terbabit menyebabkan keretanya remuk teruk dan mangsa tercampak keluar ke atas jalan.

"Ketika kejadian, lori berkenaan dalam perjalanan dari Bukit Besi untuk menghantar kayu balak ke Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2021 @ 4:54pm
d