mutakhir

Sentiasa nasihat anak patuh SOP

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Sebilangan ibu bapa di sini menyuarakan kebimbangan untuk menghantar anak mereka ke sekolah yang dibuka secara berperingkat mulai hari ini.

Kebimbangan mereka ditambah dengan kes positif negara masih di tahap empat angka.

Kakitangan kerajaan, Aszlina Abd Hadi, 40, berkata memang dia ada rasa bimbang untuk membenarkan anak ke sekolah, namun tidak mahu menganggap mereka melanggar peraturan dan dikenakan apa-apa tindakan jika berbuat demikian.

Menurutnya,beliau menghantar anaknya yang belajar di tahun satu dan golongan kanak-kanak seperti ini akan cepat lupa mematuhi arahan lebih-lebih akan teruja berjumpa dengan ramai kawan selepas lama tidak ke sekolah.

Katanya, beliau sentiasa menasihatkan anaknya agar mengambil langkah berjaga-jaga dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk membekalkan cecair pembasmi kuman dan sabun.

"Inisiatif diadakan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi memastikan kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan sedikit melegakan saya kerana ia mungkin dapat mengelakkan jumlah dalam kelas dan risiko penularan Covid-19,"

katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Presint 14(1) di sini hari ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini mengumumkan pengoperasian institusi pendidikan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka bermula hari ini.

Pengoperasian itu berdasarkan peralihan ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 18 Oktober lalu.

Sementara itu, pekerja swasta, Mohd Wafi Zainudin, 34, berkata, anak-anak memang tidak sabar untuk kembali ke sekolah selepas mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama hampir setahun namun beliau masih berbelah bajagi untuk membenarkan mereka ke sekolah.

Menurutnya, sebagai bapa dia akanmengawal pergerakan anak dan memastikan kesihatan mereka setiap hari dan mendoakan mereka dihindari perkara tidak diingini.

Katanya, pihak sekolah juga memberikan taklimat berkaitan prosedur operasi standard (SOP) secara dalam talian dan ia memberi sedikit keyakinan bagi membuat keputusan untuk menghantar anak ke sekolah.

Disiarkan pada: November 1, 2021 @ 11:10am
d