mutakhir

Tebus baucar pelancongan Johor RM100 mulai Jumaat ini

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Iskandar Puteri: Pakej pelancongan Johor dengan baucar bernilai RM100 sebagai galakan khusus buat pelancong domestik ke negeri ini, boleh ditebus mulai 5 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tawaran itu terbuka dengan lebih 200 pakej tersedia bagi yang merancang percutian penghujung tahun ini sehingga awal tahun depan.

Katanya, ketika ini, lebih 15,000 baucar ditawarkan bagi tempoh mulai Jumaat ini sehingga 30 November ini.

"Walaupun baucar itu berakhir 30 November ini, setiap pakej ditawarkan ada yang sehingga penghujung tahun dan ada pada tahun depan.

"Sekiranya inisiatif Tourism Johor ini mendapat sambutan menggalakkan, ia akan diteruskan pada tahun depan, selain kerajaan negeri akan mengumumkan bajet tambahan dengan melihat sektor pelancongan penting dalam pertumbuhan ekonomi negeri.

"Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi program ini, tambahan pula, ramai warga tempatan dilihat sedang memilih Johor sebagai destinasi untuk dikunjungi," katanya pada sidang media sempena Baucar Pakej Pelancongan Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, di Johor terdapat banyak khazanah dan produk pelancongan boleh diterokai termasuk lebih 100 pulau, lima taman negara dan lebih lima taman tema.

Katanya, baucar boleh ditebus pelancong domestik, selain orang ramai boleh memuat turun aplikasi Johor Tourism Interchange (JTI) dan memilih pakej mengikut kategori merangkumi tarikan alam semula jadi, hiburan keluarga, selain warisan dan kebudayaan.

Disiarkan pada: November 2, 2021 @ 5:26pm
d