mutakhir

Lari dari rumah penjagaan kerana mahu cari ibu dan ayah

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Ingin mencari ahli keluarga termasuk ibu bapa dipercayai motif tujuh kanak-kanak lelaki bertindak melarikan diri dari sebuah rumah penjagaan di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, motif itu berdasarkan siasatan awal yang dilakukan jabatan berkenaan.

Katanya, setakat ini, JKM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan operasi mencari tujuh kanak-kanak yang berumur 12 hingga 15 tahun itu.

"Kita percaya mereka masih lagi berada di daerah ini dan turut sama meminta kerjasama masyarakat yang melihat tujuh kanak-kanak ini supaya memaklumkan kepada JKM atau polis.

"Kita doakan mereka berada dalam keadaan baik dan dapat ditemukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Polis hari ini melancarkan operasi mencari tujuh kanak-kanak lelaki yang dipercayai melarikan diri dari rumah penjagaan kanak-kanak.

Kehilangan kanak-kanak terbabit disedari rakan mereka sebelum memaklumkan kepada pengurusan.

Berikutan itu, Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf meminta kerjasama masyarakat untuk mengesan kanak-kanak itu yang mungkin berlindung di tempat tertentu.

Berita berkaitan

Polis cari 7 kanak-kanak lari dari rumah penjagaan

Disiarkan pada: November 2, 2021 @ 5:40pm
d