mutakhir

2 kali bomba dipanggil bantu lelaki obesiti hari ini

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dipanggil dua kali untuk membantu seorang lelaki yang mengalami masalah obesiti dengan berat erat badan 220 kilogram (kg) di kediamannya di Jalan Bukit Bintang di sini, hari ini.

Pada mulanya anggota bomba dipanggil untuk membantunya bangun selepas lama berbaring.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan bagi mendapatkan khidmat khas itu pada 4 petang hari ini.

Beliau berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba membantu mengalihkan kedudukan mangsa yang berbaring di atas lantai untuk bersandar kerana dia rasa tidak selesa berbaring.

"Selepas membantu mangsa bersandar di dinding dan mendapatinya tidak mengalami masalah kesihatan, anggota bomba balik ke balai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, tidak lama selepas itu sekali lagi pihaknya menerima panggilan untuk mendapatkan bantuan menghantar lelaki yang sama ke hospital.

"Anggota bomba segera ke kediaman mangsa semula dan kali ini kami terpaksa menggunakan tilam untuk mengangkat lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Jimmy berusia 42 tahun itu ke atas lori.

"Mangsa berjaya dinaikkan ke atas lori dan kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya sambil memaklumkan operasi itu tamat pada 4.50 petang.

Menurutnya, ia bukan kali pertama pihaknya dihubungi bagi membantu lelaki berkenaan bangun untuk bersandar di dinding.

"Sebelum ini, sudah beberapa kali anggota kami bergegas ke kediamannya hanya bagi membantu mengangkatnya untuk bersandar.

"Namun kali ini, kami turut diminta membantu menghantarnya ke hospital kerana dia mengadu kurang sihat," katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2021 @ 8:01pm
d