mutakhir

Terharu sokongan warganet - Bapa Zulfarhan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: "Saya terharu melihat sokongan warganet terhadap kami sekeluarga dengan apa yang menimpa anak sulung kami," kata Zulkarnain Idros, bapa Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Zulkarnain, 57, berkata, dia membaca kata-kata semangat yang diucapkan warganet kepada mereka di media sosial berhubung keputusan hakim terhadap enam tertuduh yang didakwa menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Zulfarhan yang meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

"Saya lihat ada banyak komen di media sosial mengenai keputusan (mahkamah) itu. Kebanyakan warganet menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap hukuman itu yang dilihat agak ringan berbanding perbuatan mereka (tertuduh).

"Memang itu juga yang saya rasa. Saya juga mahu hukuman setimpal dikenakan, namun hormat keputusan mahkamah kerana mungkin tafsiran hakim dengan kita tidak sama," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia dan keluarga mahu mengikuti setiap perkembangan perbicaraan kes berkenaan sehingga keputusan akhir dimuktamadkan.

"Sebagai bapa Zulfarhan, pastinya saya mahu mengetahui setiap perkembangan kes ini. Malah, saya berusaha mendapatkan nombor telefon pendakwa raya dan memintanya memaklumkan setiap perkara berkaitan.

"Saya mahu setiap detik perbicaraan ini diikuti tidak kira sama ada saya perlu berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk ke mahkamah atau mengikutinya (perbicaraan) secara dalam talian.

"Ini kerana saya tidak mahu lepas tangan dalam perkara ini sehingga keputusan akhir (hukuman tertuduh) dimuktamadkan," katanya.

Selasa lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan Osman.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan hukuman mereka mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu selepas melihat kepada pertimbangan pelbagai aspek termasuk semua pihak terjejas terutama kesan dialami keluarga mangsa.

Disiarkan pada: November 4, 2021 @ 2:43pm
d