mutakhir

'Kenapa nak tularkan selepas setuju bayar?'

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Pemilik Restoran Terapung Sas Rimba, Norasyikin Musa terkilan selepas pelanggan berperwatakan alim bertindak menularkan harga ikan siakap di restorannya terlampau mahal.

Malah dia turut mempersoalkan tujuan sebenar pelanggan terbabit yang menularkan perkara itu selepas bersetuju membayar harga yang dikenakan pada hari kejadian.

"Saya betul-betul tak sangka orang yang berperwatakan alim dan warak sanggup buat kerja seperti ini, sedangkan dia sendiri yang pilih ikan segar dalam sangkar untuk dimasak.

"Ketika mengambil pesanan, saya ulang banyak kali bahawa ikan (yang dipilih) itu besar sambil saya tunjuk dengan isyarat tangan anggaran saiz ikan," katanya ketika ditemui di restorannya di Kilim Geoforest Park di sini, hari ini.

Norasyikin turut menafikan sekeras-kerasnya pihaknya memaksa pelanggan memilih ikan bersaiz besar bagi mendapat keuntungan berganda selepas perniagaan terjejas teruk akibat pendemik Covid-19.

"Sepanjang lapan tahun berniaga di sini, saya dan kakitangan tidak pernah memaksa pengunjung memilih ikan besar untuk menjamu selera di restoran ini.

"Malah, ketika mengambil pesanan kami akan beritahu berat ikan dikira dalam sukatan gram dan setiap menu lengkap tertera harga dengan jelas," katanya.

Beliau berkata, selepas selesai makan kumpulan sembilan pelancong terbabit tidak datang berjumpanya untuk bertanyakan mengenai harga yang dikenakan.

"Ketika melangkah meninggalkan restoran mereka juga tidak cakap apa-apa mengenai bayaran yang pihak kami kenakan ke atas ikan siakap yang dimasak menu tiga rasa dan stim limau itu.

"Sebenarnya ikan siakap yang mereka pilih itu seberat 7.48 kilogram berusia 11 tahun dan dipelihara untuk dipertontonkan sebagai tarikan pengunjung restoran," katanya.

Semalam, media melaporkan makan tengah hari sekumpulan pelancong di sebuah restoran terapung di pulau ini kelmarin, dikejutkan dengan harga ikan siakap yang didakwa mencecah RM1,196.80.

Sementara itu, empat Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Langkawi turut kelihatan melakukan siasatan di restoran berkenaan hari ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Langkawi, Abdul Rafar Wahid berkata, pihaknya sedang menyiasat dan mengumpul maklumat kejadian daripada pengadu dan peniaga.

"Maklumat sudah diperolehi dari kedua-dua pihak dan siasatan lanjut sedang dijalankan secara adil," katanya ketika dihubungi di sini.

Berita berkaitan

Pelanggan sendiri mahukan siakap itu - Pemilik restoran

Disiarkan pada: November 5, 2021 @ 5:13pm
d