mutakhir

Buru 4 lelaki bunuh 'along'

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Lelaki maut ditetak di hadapan sebuah restoran selepas makan tengah hari bersama dua anaknya di Lorong Batu Nilam 27A, Bandar Bukit Tinggi di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes pergaduhan di lokasi itu pada 12.34 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa bersama dua anak lelaki berumur 18 tahun dan 10 tahun datang ke restoran berkenaan pada 11.50 pagi.

"Sebaik selesai makan sekitar 12.20 tengah hari, mangsa bersama anaknya berjalan ke kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan 30 meter di hadapan restoran itu.

"Semasa mangsa hendak membuka pintu, datang tiga suspek lelaki dari arah belakang dengan bersenjatakan parang setiap seorang. Dua daripada suspek terus menetak mangsa.

"Mangsa melarikan diri ke arah celah kereta di kawasan terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian iaitu di hadapan restoran bersebelahan tempat mangsa dan anaknya makan. Anaknya tidak dicederakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, seorang lagi suspek menunggu dalam kereta di tepi jalan menghala keluar ke Persiaran Batu Nilam.

"Polis giat memburu suspek yang dipercayai empat lelaki berbangsa Cina berdasarkan dialek pertuturannya. Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, mangsa berumur 47 tahun adalah pemberi pinjaman wang (along) yang mempunyai pejabat di Bukit Tinggi Klang, Shah Alam dan Kajang.

Katanya, semakan mendapati mangsa mempunyai tujuh rekod lampau mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 420, Seksyen 506 serta Seksyen 326 kanun sama.

Disiarkan pada: November 6, 2021 @ 7:31pm
d