mutakhir

Pemandu Timbalan Menteri didakwa langgar peraturan jalan raya

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Pemandu kepada Timbalan Menteri didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas kesalahan melanggar peraturan jalan raya.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh, berkata pemandu berkenaan, Mohd Nazre Che Mustafa, 31, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Katanya, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Tertuduh hadir bersama peguam dan tidak mengaku salah. Jaminan sebanyak RM4,000 dikenakan dengan seorang penjamin.

"Mahkamah menetapkan 8 Disember untuk serahan dokumen," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, polis membuka siasatan terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard milik seorang timbalan menteri susulan rakaman video yang tular di media sosial yang mendakwa melanggar peraturan jalan raya.

Rakaman video yang tular itu memaparkan kenderaan dengan nombor pendaftaran P45 memotong kenderaan di hadapan di garisan berkembar meskipun terdapat kenderaan lain di atas jalan berkenaan dari arah bertentangan.

Kejadian itu berlaku di Jalan Bukit Marak - Binjai, Kota Bharu pada 26 September lalu.

Disiarkan pada: November 10, 2021 @ 9:51pm
d