mutakhir

Capai persetujuan majukan pembangunan Perak

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah di Malaysia (CILTM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Perak (DPPMP) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pelaksanaan inisiatif berpotensi di bawah Cetakan Hijau Lestari Perak 2030.

Selain itu, MoU itu juga bagi mewujudkan perkongsian menerusi perancangan lain seperti Industri 4.0, Bandar Lestari dan Industri Halal.

MOU itu ditandatangani Presiden dan Ketua Eksekutif MIGHT Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman, Presiden CILTM Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah dan Timbalan Pengerusi DPPMP Amirudin

Tajudin.

Pemeteraian MoU itu bertujuan untuk memacu hala tuju negeri ke arah yang mampan dan lestari serta mencontohi amalan terbaik kepada negeri lain.

"Ia akan menyepadukan sumber dan kepakaran dalam membangunkan industri strategik semasa dan akan datang serta mempercepatkan Perak ke arah mampan dan hijau.

"Inisiatif ini akan meningkatkan Malaysia dalam menjadi kuasa global yang mampan, berdaya saing dan berteraskan masyarakat menjelang 2030," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perkongsian tiga pihak itu memerlukan setiap rakan kongsi memainkan peranan masing-masing untuk kelancaran projek.

MIGHT akan menyediakan kemudahan industri dan teknologi melalui campur tangan strategik dan perkongsian pintar untuk inisiatif berpotensi dengan pelbagai pihak berkepentingan manakala CILTM akan menyediakan khidmat nasihat strategik dalam bidang pengangkutan dan perkhidmatan logistik untuk pembangunan mampan.

DPPMP pula akan meluaskan kerjasama ini dengan sokongan pemain industri tempatan sebagai rakan strategik berpotensi atas pelbagai kapasiti seperti Agrobase, Halal, Eko dan Pelancongan Maya, Fabrikasi, Latihan Usahawan Hijau dan Pembiayaan Peralatan PKS untuk Kilang serta Gudang.

Disiarkan pada: November 11, 2021 @ 6:23pm
d