mutakhir

Akibat panik, imam kedua maut, jemaah cedera dilanggar imam satu

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Pesara guru yang juga imam kedua Surau Al Hidayah Taman Bukit Kajang, Kajang dekat sini maut manakala seorang jemaah cedera dilanggar kereta dipandu imam pertama surau itu, pagi semalam.

Difahamkan, imam pertama itu tertekan pedal minyak dan melanggar imam kedua, Hatim Arshad, 78, dan seorang lagi jemaah yang berada di perkarangan surau selepas selesai menunaikan solat Subuh.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, dalam kejadian 6.30 pagi itu, kereta Perodua Myvi dipandu imam pertama berusia 76 tahun itu mengundurkan kenderaan dari lot parkir di perkarangan surau sehingga terlanggar sedikit bahagian belakang kenderaan lain.

"Bagaimanapun, imam berkenaan panik lalu menggerakkan kenderaan ke depan sehingga hilang kawalan dan melanggar dua mangsa yang juga pejalan kaki di perkarangan surau.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi jemaah dikenali Muhammad, 76, patah lutut kanan dan pergelangan kaki kiri sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, beliau berharap orang ramai sentiasa peka dan berhati-hati ketika memandu kenderaan tidak kira di mana berada.

"Bagi pemandu berusia, mungkin ada keperluan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan demi memastikan kesesuaian untuk memandu," katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2021 @ 1:57pm
d