mutakhir

Port Dickson sasar tarik 3 juta pelancong

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Tiga juta pelancong dijangka mengunjungi daerah ini sempena Tahun Melawat Port Dickson 2023.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) Mohd Zamri Mohd Esa berkata, sepatutnya Tahun Melawat Port Dickson diadakan tahun hadapan namun berikutan kes Covid-19 masih tinggi, ia dianjakkan kepada 2023.

"MPPD juga mengharapkan daerah-daerah lain untuk turut sama membantu mempromosikan Tahun Melawat Port Dickson 2023 kerana ia secara tidak langsung merangsang pendapatan penduduk tempatan terutama peniaga," katanya selepas Program Edaran 'Fun Map' Pelancongan Daerah Port Dickson di sebuah hotel di sini, hari ini.

Katanya, pelbagai program bulanan akan diadakan pada 2023 bagi merancakkan sambutan itu.

"Ia akan dianjurkan berdasarkan tema tertentu dan kemuncaknya adalah Pesta Port Dickson yang akan diwujudkan semula seperti zaman kegemilangan pesta itu satu ketika dahulu," katanya.

Berkaitan program edaran fun map, beliau berkata, ia adalah program jelajah ke setiap hotel di daerah ini untuk mengedarkan video pelancongan yang disediakan MPPD bagi kemudahan pengunjung.

"Ia satu daripada inisiatif MPPD dalam memberikan maklumat lokasi menarik dan tempat makan popular di daerah ini selain promosi di media sosial," katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2021 @ 5:16pm
d