mutakhir

512 graduan CILTM terima ijazah, diploma

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Seramai 512 graduan The Chartered Institute of Logistics and Transport in Malaysia (CILTM) pelbagai disiplin dianugerahkan ijazah dan diploma dalam majlis konvokesyen, semalam.

CILTM dalam kenyataan berkata, konvokesyen ke-19 itu turut disertai Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Kelantan, UNIKL MIMET, UNIKL MITEC, Universiti Utara Malaysia, UCSI University, Universiti Tunku Abdul Rahman, UiTM, Kolej Profesional Mara Bandar Penawar, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Meritus, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, AK Academy, United Vision Academy dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Katanya 19 graduan daripada 15 institusi menerima Anugerah Pelajar Terbaik dengan dua graduan dianugerahkan Anugerah Presiden berprestij untuk prestasi akademik cemerlang tahun ini.

"CILTM dilantik sebagai Badan Peneraju Perindustrian Kebangsaan (ILB) bagi Sektor Logistik dan Pengangkutan. Ini adalah pelantikan eksklusif oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), di bawah Kementerian Sumber Manusia yang bertujuan untuk menyokong aspirasi negara untuk membangun dan meningkatkan kemahiran kecekapan dan keupayaan kakitangan yang bekerja di Sektor Logistik dan Pengangkutan di Malaysia.

"Program Akademik Bertauliah CILT Malaysia adalah kualiti yang diberikan kepada program akademik dalam bidang logistik, pengangkutan dan pengurusan rantaian bekalan," kata kenyataan itu.

"Peperiksaan Kelayakan Institut adalah kelayakan pengangkutan profesional dan logistik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan standard pendidikan tinggi," katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2021 @ 11:57am
d