mutakhir

50 loji kumbahan kecil, usang ditutup berperingkat [METROTV]

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Sebanyak 50 loji kumbahan kecil atau usang yang gagal beroperasi mengikut piawaian di sekitar Tebrau di sini akan ditutup secara berperingkat.

Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong berkata, susulan penutupan loji berkenaan, kumbahan akan disalurkan ke loji baharu yang lebih cekap demi menyelesaikan masalah yang timbul sebelum ini.

Beliau berkata, ia dijangka mampu menyelesaikan isu pencemaran bau berpunca kumbahan tidak dirawat serta terus disalurkan ke sungai yang dibangkitkan pihaknya sejak April 2019.

Katanya, Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan kerajaan negeri memberikan Indah Water Konsortium (IWK) dan Johor Special Water (JSW) bagi mengurus loji rawatan kumbahan di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang dipersetujui Jun lalu.

Katanya, syarikat berkenaan menandatangani perjanjian kerjasama pada 11 Oktober lalu dan ia membabitkan usaha meningkatkan kecekapan loji rawatan kumbahan, membaiki loji kumbahan yang menghadapi masalah dan memastikan ia dapat mengekalkan operasi yang baik serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Kementerian Alam Sekitar dan Air juga menyatakan tindakan menerusi perjanjian berkenaan akan dilaksanakan mulai 1 Disember depan.

"Kerajaan memperuntukkan geran sejumlah RM97.11 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf kemudahan itu yang dianggarkan siap pada tahun 2024.

"Kami menghargai kerjasama semua pihak termasuk kerajaan pusat dan negeri, IWK, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), JSW dan pihak berkuasa tempatan kerana bekerjasama menyelesaikan masalah ini demi menjamin kehidupan yang selesa penduduk sekitar kawasan Tebrau," katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke beberapa kawasan loji di sekitar Tebrau di sini, hari ini.

Disiarkan pada: November 15, 2021 @ 8:47pm
d