mutakhir

Lelaki lemas terjun sungai pada operasi banteras penyalahgunaan dadah

Oleh Norsyazwani Nasri

Kuching: Seorang lelaki disahkan lemas selepas terjun ke sungai pada operasi membanteras penyalahgunaan dadah di Kampung Tabuan Hilir di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, terdahulu, pada serbuan jam 10 pagi, beberapa individu melarikan diri dan ada yang terjun ke sungai berhampiran.

"Seorang daripada individu yang melarikan diri dan terjun ke sungai disahkan lemas oleh kakitangan perubatan," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pada serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, pihaknya dapat menahan 12 individu yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah di lokasi berkenaan.

"Kesemua yang ditahan berusia 21 hingga 44 tahun. Ujian saringan air kencing terhadap kesemuanya mendapati mereka positif dadah Amphetamine.

"Tujuh daripada 12 yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Pada serbuan berasingan, pihaknya menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 23 hingga 40 tahun di sebuah rumah di kampung berkenaan.

"Pemeriksaan menemui tujuh paket plastik mengandungi syabu seberat 9.77 gram di ruang tamu rumah terbabit.

"Tiga lelaki terbabit mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah manakala suspek wanita tiada rekod jenayah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: November 16, 2021 @ 1:47pm
d