mutakhir

Selepas Singapura, VTL akan diperluaskan ke negara lain [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Selepas Singapura, kerajaan akan membuka lebih banyak kemudahan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) untuk memastikan sempadan negara dibuka secara selamat bagi aktiviti keluar masuk pengembara sekali gus merancakkan ekonomi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah berbincang dengan rakan sejawat beberapa negara seperti Brunei dan Thailand mengenai kemudahan VTL.

Beliau berkata, kemudahan VTL pertama dilaksanakan Malaysia iaitu dengan Singapura pada 29 November ini menerusi mod pengangkutan udara dan akan disusuli secepatnya bagi laluan darat.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan Presiden Jokowi (Presiden Indonesia Joko Widodo) juga sudah secara prinsipnya mengumumkan VTL antara Kuala Lumpur dan Jakarta serta Kuala Lumpur dan Bali pada pertemuan mereka baru-baru ini.

"Saya juga sudah berbincang dengan rakan sejawat (Menteri Kesihatan Indonesia) untuk memastikan kita boleh bersetuju dalam beberapa hal teknikal mengenainya.

"Saya turut berhubung dengan rakan sejawat di Thailand dan harap dapat laksanakan VTL serupa tidak lama lagi antara Kuala Lumpur dan Bangkok dan lain-lain destinasi di Malaysia dan Thailand.

"Begitu juga dengan rakan sejawat di Brunei supaya ada VTL antara Bandar Seri Begawan dan Kuala Lumpur dan sempadan darat antara kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa melancarkan Destinasi Rawatan untuk Hepatitis C, sempena InsigHT2021, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Perkhidmatan Kesihatan Malaysia (MHTC) Mohd Daud Mohd Arif dan Pengarah Urusan Berhad (Pharmaniaga), Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Khairy berkata, kerajaan sudah menyusun langkah untuk membuka sempadan secara selamat dengan rakan niaga utama dan destinasi sasaran khususnya membabitkan pelancongan kesihatan seperti Jepun, Korea Selatan, China, Australia, New Zealand dan United Kingdom serta negara Eropah lain.

Sementara itu, pada sidang medianya, beliau berkata InsigHT2021 adalah satu persidangan yang penting untuk memulihkan sektor pelancongan kesihatan.

"Pelancongan kesihatan adalah satu sektor yang memberikan pulangan besar kepada negara sebelum pandemik Covid-19 iaitu RM1.7 bilion setiap tahun.

"Tahun ini kerajaan menggariskan sasaran pendapatan RM500 juta (perangkaan setakat Oktober lalu menunjukkan sudah mencapai 96 peratus atau kutipan RM480 juta daripada pelancongan kesihatan).

"Pada tahun depan kita naikkan sasaran kepada RM800 juta dan pada 2025 pemulihan sepenuh seperti sebelum wabak dengan pendapatan RM1.7 bilion daripada sektor pelancongan kesihatan," katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2021 @ 1:51pm
d