mutakhir

Himpun 100 kuih air tangan penjaja di satu stesen [METROTV]

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Bagi penggemar kuih tradisional, 'Stesen Kuih' menjadi syurga mampu memenuhi citarasa dan keinginan untuk menikmati beraneka jenis kuih termasuk jarang ditemui.

Pemilik Stesen Kuih, Abdul Malik Mohd Zin, 51, berkata restoran di Bandar Baru Uda, Tampoi, di sini menyajikan antara 80 hingga 100 jenis kuih tradisional pada setiap hari.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, keunikan restoran berkenaan adalah menghimpun air tangan penjaja di dalam satu premis.

Menurutnya, penggemar kuih mempunyai pilihan sama ada menikmatinya secara 'dine in' atau membawa pulang kuih dibeli di Stesen Kuih.

"Konsep membawa produk penjaja ke dalam restoran timbul hasil tinjauan saya ketika mahu memilih jenis perniagaan untuk dibuka.

"Sebelum ini saya bekerja sebagai juru jual kereta mewah di Kuala Lumpur dan sudah lama memasang impian untuk menetap di Johor Bahru dan membuka restoran.

"Bagaimanapun, saya dan isteri mendapati banyak restoran rata-ratanya menjual makan tengah hari dibuka, berbanding makanan pencuci mulut," katanya.

Abdul Malik berkata, dia dan keluarga mengambil keputusan membuka restoran menjual kuih-muih tradisional serta set sarapan pagi dan makanan tengah hari.

Menurutnya, sehingga kini, pihaknya berjaya menghimpun produk berkualiti dihasilkan seramai 25 penjaja.

"Walaupun berniaga di tepi jalan, produk dihasilkan mereka lazat, berkualiti dan turut memiliki bakat dalam menghasilkan sesuatu jenis kuih.

"Menerusi kewujudan Stesen Kuih, kami dapat membantu penjaja di tepi jalan dengan membeli produk mereka dan menjual di sini.

"Oleh itu mereka sekurang-kurangnya dapat menjana pendapatan dari rumah sekiranya tidak dapat berniaga di tepi jalan terutama ketika cuaca buruk," katanya.

Abdul Malik berkata, Stesen Kuih yang mula beroperasi sejak Februari lalu mulai 8.30 pagi hingga 7 malam menyajikan pelbagai kuih dengan harga berpatutan iaitu antara 60 sen hingga RM2 setiap satu.

Menurutnya, berdasarkan kepelbagaian kuih dijual dan sambutan menggalakkan, pihaknya bercadang membuka cawangan restoran dan kios 'Stesen Kuih' di beberapa lokasi secara berperingkat mulai Disember depan.

Katanya, mereka turut membuka pesanan menerusi Grab Food menerima tempahan bagi majlis keramaian.

Disiarkan pada: November 16, 2021 @ 5:55pm
d