mutakhir

Saksi dengar letupan kuat sebelum lihat api marak [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: "Saya sudah terbiasa dengar bunyi pesawat kerana kedai dekat dengan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), tetapi kali ini agak berlainan daripada kebiasaan," kata Mastura Mohammad Nordin.

Mastura, 44, yang berniaga makanan di Kampung Benggali, Sungai Puyu, dekat sini, antara saksi kejadian pesawat Hawk 108 milik TUDM yang terhempas di landasan Pangkalan Udara Butterworth pada 10.07 malam tadi.

Menurutnya, dia mendengar bunyi deruan pesawat agak kuat berbanding kebiasaan kerana kedainya terletak berdekatan pangkalan udara itu.

"Saya memang dah terbiasa dengan bunyi pesawat tetapi yang ini memang lain.

"Ketika ia hampir mendarat saya dengar dua dentuman sangat kuat sebelum melihat api marak ketika pesawat itu terhempas," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang mengemas gerainya untuk pulang ke rumah yang terletak berdekatan, namun dikejutkan dengan insiden itu.

Terdahulu, media melaporkan seorang juruterbang maut manakala seorang cedera selepas pesawat pejuang Hawk milik TUDM terhempas.

Juruterbang maut dikenali Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan dalam keadaan selamat dan stabil.

Berita berkaitan

'Seorang maut pesawat pejuang Hawk TUDM terhempas'

'Identiti, status dua juruterbang pesawat Hawk dikenal pasti'

Disiarkan pada: November 17, 2021 @ 2:44am
d