Melaka: Pesawat pejuang Hawk akan terus digunakan setakat ini untuk latihan dan operasi, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata, sebarang keputusan untuk menggantung operasi pesawat itu bergantung kepada hasil siasatan Lembaga Siasatan Khas yang sudah ditubuhkan.
Beliau berkata, selagi berfungsi dengan baik, Hawk akan digunakan, namun kerajaan tetap meneruskan perancangan untuk membeli pesawat baharu.
"Selagi berfungsi dengan baik, ia tidak jadi masalah (penggunaan pesawat Hawk) dan sebarang keputusan (untuk gantung operasi) akan dibuat berdasarkan hasil siasatan.
"Saya sudah minta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghulurkan apa juga bantuan kepada keluarga mangsa," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Klebang, di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi kini, keutamaan adalah menyelenggara pesawat sedia ada terlebih dulu.
Katanya, pembelian pesawat baharu mengambil masa untuk penghantaran dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai pengguna akhir akan menentukan keperluan penggunaan pesawat baharu.
Harian Metro hari ini melaporkan, TUDM akan menjalankan siasatan teknikal terperinci berhubung insiden pesawat pejuang Hawk terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, malam tadi.
Dalam kejadian pada 10.07 malam itu, seorang juruterbang maut manakala seorang cedera selepas pesawat pejuang Hawk milik TUDM terhempas.
Juruterbang maut dikenali Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan dalam keadaan selamat dan stabil.
Sebelum kejadian, kedua-dua juruterbang berkenaan dikatakan sedang melakukan latihan penerbangan pada waktu malam.
Berita berkaitan:
- Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy cukup sayangkan ibu bapanya
- Kapten Affendi penerima Anugerah Green Endorsement TUDM
- 'Syak sesuatu terhempas selepas dengar dentuman kuat'
- Pesawat Hawk terhempas: Jawatankuasa siasatan ditubuhkan
- PM rakam takziah kepada keluarga Kapten Mohamad Affendi
- Kronologi insiden pesawat Hawk TUDM terhempas, mendarat cemas
- Siasatan terperinci nahas pesawat pejuang Hawk
- Saksi dengar letupan kuat sebelum lihat api marak
- Identiti, status dua juruterbang pesawat Hawk dikenal pasti
- 'Seorang maut pesawat pejuang Hawk TUDM terhempas'