mutakhir

Siasat dua wanita warga asing tak pakai pelitup muka

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan dua wanita warga asing tidak memakai pelitup muka di taman KLCC di sini, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, ciapan beserta gambar wanita itu dimuat naik di Twitter.

"Hasil penelitian ke atas gambar berkenaan menunjukkan wanita bukan warganegara itu sedang berjalan dengan tidak memakai pelitup muka di laluan pejalan kaki taman KLCC.

"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuka satu kertas siasatan mengenai perkara itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) dan Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, orang ramai, dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang akan diambil jika berlaku ketidakpatuhan.

Disiarkan pada: November 18, 2021 @ 12:23am
d