mutakhir

Dipenjara enam tahun guna wang palsu

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Seorang lelaki dihukum penjara selama enam tahun di Mahkamah Sesyen Kluang, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan wang palsu untuk berbelanja.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh, Lim Lai Kok, 53, didakwa menggunakan not RM100 untuk berbelanja di sebuah kedai kasut di Taman Sri Tengah, di sini, pada 3.30 petang 7 November lalu.

Mengikut fakta kes tertuduh membeli sebuah beg kulit berharga RM30 di kedai berkenaan sebelum pemilik kedai menyedari wang RM100 diberi adalah wang palsu dan melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis kemudian menjumpai satu lagi not wang palsu bernilai RM100 dalam milikan tertuduh.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan wang palsu RM100 untuk membeli dakwat mesin pencetak yang kemudiannya didapati palsu oleh pemilik kedai di Jalan Lambak di sini, 1.24 tengah hari.

Atas kesalahan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun jika disabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Lim yang bekerja sebagai pekerja binaan berkata, pendapatannya tidak menentu selain perlu menanggung nafkah keluarga termasuk isteri dan tiga anak yang masih bersekolah.

Tertuduh yang merayu hukuman lebih ringan berkata, dia terpaksa melakukan perbuatan itu kerana terdesak disebabkan ketiadaan wang untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya selain keadaan kesihatannya yang tidak baik.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah bagaimanapun berkata, ini bukan kesalahan pertama dilakukan tertuduh dan hukuman lebih berat sewajarnya dikenakan ke atas tertuduh untuk kesedaran dirinya dan masyarakat bahawa penggunaan wang palsu adalah dilarang.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Mahkamah Sesyen Mujib Saroji memerintahkan tertuduh dihukum tiga tahun penjara di atas setiap pertuduhan dan hukuman berjalan dari tarikh penahanan tertuduh.

Disiarkan pada: November 21, 2021 @ 1:44pm
d