mutakhir

Tak pernah nak insaf...

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Baru dibebaskan penjara bulan lalu, seorang lelaki kembali diberkas polis selepas terbabit dalam jenayah samun di Kampung Ana di sini.

Dalam kejadian 3 petang kelmarin, lelaki dengan 17 rekod lampau atas kesalahan dadah dan jenayah itu menahan wanita yang menunggang motosikal ketika melalui sebuah lorong di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, wanita berusia 43 tahun itu secara tiba-tiba didatangi oleh dua lelaki tidak dikenali dari arah belakang.

Kedua-duanya bertindak menghalang laluan motosikal mangsa.

"Suspek yang membonceng motosikal rakannya itu menghampiri mangsa dan mengeluarkan pisau sambil mengacukannya terhadap wanita berkenaan.

"Suspek kemudiannya menarik seutas gelang tangan emas yang dipakai oleh mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal bersama rakannya itu.

"Anggaran kerugian yang dialami mangsa kira-kira RM7,000 dan wanita itu tampil membuat laporan di Balai Polis Chabang Empat," katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Ab Rashid berkata, kejadian samun itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh daripada sebuah rumah di sekitar lokasi kejadian.

Susulan itu, pihaknya berjaya menahan suspek yang berusia 32 tahun di Wakaf Bharu, pagi semalam.

"Hasil semakan, suspek memiliki 17 rekod jenayah lampau yang membabitkan kes jenayah serta dadah, dan ujian saringan mendapati lelaki itu positif dadah jenis amphetamine.

"Suspek ditahan reman selama enam hari iaitu bermula semalam sehingga 26 November ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Kami juga masih mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2021 @ 8:48am
d