mutakhir

Ramai masih alpa SOP pencegahan Covid-19

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sebanyak 377 kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-46.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding minggu sebelumnya.

"Pada ME ke-45 dan ME ke-46, sebanyak 373 kompaun dikeluarkan kepada 344 individu dan 29 pertubuhan perbadanan dengan peningkatan 37 peratus berbanding 251 kompaun pada minggu sebelumnya.

"Selain itu, terdapat 66 premis ditutup membabitkan peningkatan 1.6 peratus berbanding 63 premis ditutup pada minggu sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa giat melakukan aktiviti penguatkuasaan pematuhan SOP di seluruh negara setiap minggu.

"Peningkatan kompaun yang dikeluarkan ini menunjukkan masih ramai penduduk Malaysia yang alpa terhadap pengamalan SOP sebagai pencegahan Covid-19.

"Tindakan itu menyebabkan berlakunya risiko tinggi untuk menyebarkan atau mendapat jangkitan Covid-19," katanya.

Mengulas mengenai indikator utama jangkitan Covid-19, beliau berkata, ia menunjukkan tren penurunan kecuali purata kes aktif yang meningkat sebanyak enam peratus pada ME ke-46 berbanding ME ke-45.

"Sehingga 20 November lalu (ME ke-46), sebanyak 2,581,747 kes kumulatif Covid-19 dilaporkan dengan 69,485 kes aktif dan 29,978 kes kumulatif kematian.

"Tren penurunan purata kes aktif yang dulunya konsisten selama 10 minggu kini menunjukkan peningkatan semula selepas lima minggu kebenaran merentas negeri diumumkan.

"Kesan peningkatan kes baharu dan kes aktif selama dua minggu berturut-turut ini dapat dilihat di mana kemasukan kes ke fasiliti kesihatan terutamanya bagi pesakit kategori tiga hingga lima mulai meningkat," katanya.

Bagaimanapun, katanya, keberkesanan vaksin Covid-19 dalam mengurangkan kematian dapat dilihat dengan apabila terdapat penurunan kes kematian, kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Dari segi kluster, terdapat kumulatif 5,878 kluster dilaporkan pada ME ke-46 dan hanya 240 kluster masih lagi aktif dengan penurunan sebanyak 13.7 peratus berbanding ME ke-45.

"Bagaimanapun, kewujudan kluster komuniti yang sebelum ini mencatatkan penurunan semenjak ME ke-30 mulai meningkat sedikit pada ME ke-46 selari dengan pembukaan sempadan negeri yang memudahkan masyarakat menziarahi saudara.

"Peningkatan kluster komuniti ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan memandangkan individu pelbagai lapisan umur hidup bersama dalam satu isi rumah yang sama," katanya.

Katanya, golongan berusia bawah 12 tahun adalah golongan yang belum menerima vaksin Covid-19 dan mempunyai keberangkalian yang tinggi untuk terkesan sekiranya dijangkiti daripada ahli keluarga mereka.

Menurutnya, jumlah pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima yang dirawat di fasiliti kesihatan didapati meningkat terutamanya bagi golongan yang berusia 40 tahun ke atas mulai ME ke-44.

"Golongan 40 tahun ke atas termasuk dalam kategori golongan yang produktif dalam menjana semula ekonomi negara dan jika peningkatan bilangan ini berterusan pada minggu akan datang akan melambatkan usaha kerajaan memakmurkan semula ekonomi.

"Walaupun kebanyakan golongan itu sudah lengkap divaksinasi mulai pertengahan tahun lalu, kajian terbaru mendapati keberkesanan vaksin akan menurun selepas beberapa bulan bergantung kepada jenis vaksin yang diambil.

"Oleh itu, KKM menggesa individu yang mendapat tarikh janji temu dos penggalak vaksin Covid-19 untuk hadir bagi menerima suntikan terbabit," katanya.

Menurutnya, keberkesanan program vaksinasi remaja (PICK-A) yang sudah meliputi 82.3 peratus populasi remaja Malaysia dilihat menunjukkan hasil bagus dalam melindungi golongan itu daripada jangkitan Covid-19 yang lebih teruk.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 22, 2021 @ 8:20pm
    d